Dasar Sumber Manusia

DASAR-DASAR DAN PERATURAN BERKAITAN SUMBER MANUSIA
Terdapat beberapa dasar utama yang mewarnai pembangunan serta pentadbiran sumber manusia di UIM. Dasardasar tersebut adalah dasar kesaksamaan, dasar ketelusan dan kerahsiaan, dasar umur perkhidmatan, dasar keselamatan dan kesihatan, dasar kebajikan, dasar keseimbangan dan dasar pengembangan kepakaran atau bakat kepimpinan.

DASAR KESAKSAMAAN

  1. UIM tidak mengamalkan diskriminasi gender, umur maupun warna kulit dalam pengambilan maupun peningkatan kerjaya personel. Ia dibuat berasaskan kesesuaian kepada misi, falsafah dan pencapaian prestasi.
  2. Sekiranya terdapat persamaan dari segi prestasi yang dinilai, kekananan dalam perkhidmatan akan diambilkira.
  3. Seseorang yang ingin diambil bertugas sebagai personel UIM semestinya memiliki akhlak terpuji, tiada rekod jenayah, dan berada dalam tahap kesihatan yang baik. Jawatan akan ditawarkan tertakluk kepada keputusan pemeriksaan rekod mahkamah dan doktor panel (medical checkup) yang memberi perakuan atas kesihatan.

DASAR KESEIMBANGAN

  1. Salah satu aspek pembangunan kepimpinan yang dititikberatkan di UIM, adalah keseimbangan dalam amalan yang membawa kejayaan dunia dan akhirat. Personel yang beragama Islam selain menjaga hubungan sesama sendiri, juga menjaga hubungan dengan Allah SWT – iaitu tekun mengamalkan rukun-rukun Islam, Iman serta bersikap ‘Ihsan’, iaitu sedar pada setiap masa bahawa Allah Maha Melihat setiap tindakan dan tutur kata. Bagi pemohon beragama Islam, ilmu utama iaitu sekurang-kurangnya ilmu fardu ain akan dijadikan salah satu asas ukuran dalam temuduga dan pengambilan.
  2. Selain keseimbangan dunia akhirat tersebut, UIM juga menggalakkan personel mengamalkan keseimbangan kerja dengan keluarga/masyarakat (Work Family Balance ). Antara galakan yang diperkenalkan di UIM adalah aktiviti cuti mesra keluarga, program-program bersama keluarga, dan seumpamanya. Personel juga dibenarkan membawa anak ke pejabat dengan keizinan ketua jabatan dan pada masa-masa tertentu.

DASAR KETELUSAN DAN KERAHSIAAN

  1. Proses merekrut, kenaikan pangkat, tatatertib dan sebagainya adalah telus dan direkayasa (reengineered ) untuk memungkinkan keputusan yang cekap lagi tepat.
  2. Personel boleh mempunyai talian keluarga sesama sendiri. Namun, personel yang mempunyai pertalian keluarga tidak dibenarkan menjadi sebahagian pembuat keputusan dalam pengambilan kenaikan pangkat, tatatertib dan lain – lain berkaitan ahli keluarga tersebut.
  3. Personel harus memahami bahawa segala keputusan dan tindakan oleh pengurusan kanan dibuat dengan telus berpandukan perlembagaan, dasar dan tatacara dalam tadbir urus universiti.
  4. Setiap personel mesti menjaga kerahsiaan dan sensitiviti keputusan atau maklumat yang menjadi hakmilik UIM. Sekiranya perkongsian maklumat dengan pihak di luar UIM perlu dilakukan, ia hendaklah dilaksanakan dengan keizinan pengurusan dan menggunakan saluran rasmi. Personel dilarang membincangkan hal-hal penggajian masing-masing.
  5. Sekiranya terdapat percanggahan, keputusan JK Pengurusan Universiti (JPU) dan Lembaga Pengarah Universiti (LPU) adalah muktamad.

DASAR UMUR PERKHIDMATAN

  1. UIM tidak mengambil sebagai personel mereka yang tiada permit dan mereka yang di bawah umur 18 tahun.
  2. Umur persaraan untuk personel yang bertaraf Tetap adalah 60 tahun. Personel Tetap yang telah mencapai umur tersebut boleh disambung perkhidmatan dengan bertaraf Kontrak.
  3. Umur wajib penamatan perkhidmatan adalah 75 tahun. Dalam keskes tertentu, penyambungan kontrak personel yang menjangkau umur penamatan boleh dipertimbangkan.
  4. Pelantikan dan penyambungan perkhidmatan adalah tertakluk kepadalaporan kesihatan oleh panel perubatan yang disahkan.

DASAR KESELAMATAN DAN KESIHATAN

  1. UIM amat menitikberatkan aspek keselamatan serta kesihatan. Personel dilarang membawa bahan larangan atau merbahaya ke premis universiti, tanpa mendapat kebenaran pihak pengurusan.
  2. Sebelum menggunakan alatan dan fasiliti yang mempunyai risiko keselamatan seperti alat elektrik, elektronik, jentera dan sebagainya, personel berkaitan perlu melalui proses latihan dan pentauliahan(sekiranya ada) untuk mengelakkan sebarang kemalangan akibat ketidakcekapan atau kecuaian di tempat kerja. Maklumat lanjut mengenai keselamatan di tempat kerja boleh diperolehi dari Bah.Pembangunan, Penyenggaraan dan Keselamatan UIM.
  3. Personel yang diambil berkhidmat perlu mempunyai tahap kesihatan yang baik dan keadaan fizikal yang sesuai dengan tugas.
  4. Personel digalakkan mengamalkan budaya hidup sihat, mengelakkan amalan-amalan yang memudharatkan serta menjalankan aktiviti fizikal secara berterusan. Pejabat Pendaftar dan juga badan rekreasi sedia menganjurkan aktiviti-aktiviti tersebut dari masa ke masa.
  5. Pemeriksaan kesihatan boleh diarahkan untuk mana-mana personel oleh Pendaftar.

DASAR KEBAJIKAN

  1. UIM mengambil berat aspek kebajikan setiap personel dan anggota keluarga mereka.
  2. Seseorang personel yang mempunyai atau mengetahui keperluan kebajikan digalakkan memaklumkan kepada Bahagian Sumber Manusia untuk tindakan kebajikan yang bersesuaian.
  3. Personel yang bertaraf Orang Kelainan Upaya (OKU) diberi kemudahan yang bersesuaian untuk menjalankan tugasan di UIM dengan baik.
  4. Perkhidmatan menziarahi personel atau anggota keluarga yang sakit serta bantuan khairat kematian disediakan oleh UIM (berkuatkuasa 2015).
  5. UIM juga menggalakkan aktiviti kebersamaan dan kebajikan dengan komuniti oleh personel, terutamanya secara kolektif.
  6. UIM juga mempunyai kelab kebajikan dan rekreasi di mana setiap personel diwajibkan menjadi ahlinya dengan kadar yuran yang munasabah. Yuran akan digunakan untuk aktiviti-aktiviti kebajikan dan rekreasi sesama personel termasuk khairat.

DASAR PENGEMBANGAN POTENSI

  1. UIM sentiasa memberi peluang kepada setiap personel untuk mengembangkan potensi dan bakat masing-masing. Pengembangan bakat boleh membantu kedua-dua UIM dan personel untuk memperolehi pengiktirafan sewajarnya.
  2. Pengiktirafan langsung personel antaranya promosi, kenaikan gaji dan bonus/ hadiah prestasi, diberi mengikut keperluan universiti dan situasi kewangan. Pengiktirafan berbentuk “non monetary ” jugadipertimbangkan oleh UIM dari masa ke masa.
  3. Untuk mengenalpasti potensi, UIM mengamalkan skim penilaian prestasi yang mengimbangi prestasi kerja, kepakaran dan sikap.
  4. Output dan pencapaian kerja yang diamanahkan (indeks prestasi utama/ Altitud ).
  5. Kemampuan dan kepakaran (ilmu pengetahuan/ Aptitud ).
  6. Sikap dan komitmen ( Atitud ).
  7. Bermula 2015, penilalan prestasi dibuat di penghujung tahun dengan menggunakan borang penilaian prestasi beserta penilaian oleh tiga (3) pihak penilai. Pihak penilai tersebut mesti terdiri daripada tiga orang berlainan.

Pejabat Pendaftar
Universiti Islam Malaysia
Blok I, Bangunan MKN Embassy Techzone,
Jalan Teknokrat 2,
63000 Cyberjaya, Selangor Darul Ehsan.

Tel: +603-8324 6666 | Fax: +603-8318 6846
Email: info[a]uim.edu.my

Enquiry / Feedback: http://helpdesk.uim.edu.my